2.0 TEORI HURAIAN BAHASA & TEORI
PEMEROLEHAN BAHASA
Bahasa adalah
alat untuk berkomunikasi dan dianggap sebagai tingkah laku manusia melalui
ucapan. Teori Huraian Bahasa mengkaji hubungan bahasa dengan jiwa
manusia, jenis-jenis bahasa, bentuk-bentuk bahasa dan perkataan yang digunakan
oleh penutur serta hubungannya dengan fikiran dan jiwa penutur. Aliran kajian
tatabahasa yang terkenal membahagikan Teori Huraian Bahasa kepada
empat iaitu aliran tatabahasa tradisional, struktural dan transformasi
generatif serta fungsional. Terdapat beberapa perbezaan pendapat dalam setiap
aliran bergantung kepada pengaruh yang diterima oleh aliran tersebut. Teori Pemerolehan Bahasa mengkaji bahasa
sebagai alat komunikasi dan perubahan bentuk bahasa yang berlaku ketika
seseorang itu berkomunikasi dan bahasa berkeupayaan menyampaikan maklumat
tentang penuturnya. Eleman dalam
struktur bahasa ialah semantik bukan hubungan sintaksis dari segi struktur bahasa.
3.0 FALSAFAH,
OBJEKTIF DAN ORGANISASI KANDUNGAN SUKATAN PELAJARAN BAHASA MELAYU
Kurikulum Bahasa Melayu digubal untuk memenuhi hasrat
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) bagi melahirkan insan yang seimbang dan
harmonis dari segi intelek, emosi, rohani, dan jasmani. Kurikulum Bahasa Melayu
melatih murid menguasai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi dengan
menggunakan tatabahasa secara gramatis. Pendidikan
Bahasa Melayu bertujuan membina rasa bangga terhadap bahasa yang mencerminkan
akal budi dan pemikiran rakyat. Selain itu, Pendidikan Bahasa Melayu berperanan
sebagai pemangkin kepada semangat cinta akan tanah air yang dikongsi bersama
oleh semua rakyat.
3.1 Kurikulum
Bersepadu Bahasa Melayu Sekolah Rendah (KBSR)
Pendidikan
Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996, menjelaskan bahawa Bahasa
Melayu ialah mata pelajaran teras di semua sekolah rendah dan menengah. Kurikulum
Bahasa Melayu digubal bertujuan untuk memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan
Kebangsaan bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani,
emosi, rohani, intelek dan sosial. Dengan pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Bahasa
Melayu, murid yang cekap berbahasa dan berkomunikasi dan dapat menggunakan
tatabahasa secara betul dan tepat dapat dilahirkan. Murid juga akan mampu
mengungkapkan ilmu pengetahuan daripada mata pelajaran yang lain di samping
mengembangkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK).
Matlamat
sukatan pelajaran Bahasa Melayu KBSR adalah untuk melengkapkan murid dengan
keterampilan berbahasa dan berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri,
memperoleh ilmu, perhubungan sosial, dan urusan harian. Berdasarkan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (KBSR), pada akhir pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah murid dapat:
1. Mendengar pengucapan dengan teliti
dan memahami serta menghayati pengucapan
alam konteks perbualan harian dan situasi formal.
2. Bertutur petah menggunakan sebutan
dan intonasi yang betul dalam pelbagai situasi.
3. Berbincang dan berkongsi pendapat
untuk menyelesaikan masalah, mencapai persetujuan, dan membuat keputusan
tentang sesuatu perkara.
4. Membaca pelbagai bahan sastera dan
bahan berunsur pengetahuan menggunakan teknik membaca yang sesuai dan berkesan
untuk memperoleh ilmu dan memproses maklumat secara kritis.
5. Memupuk minat membaca sebagai satu
amalan ke arah membina budaya pembelajaran berterusan.
6. Memperkembangkan kekuatan imaginasi,
kreativiti, pemikiran kritis, dan penghayatan nilai murni melalui aktiviti
bertutur, membaca, dan menulis.
7. Mengenali dan menghasilkan pelbagai
jenis penulisan kreatif dan berunsur pengetahuan menggunakan kemahiran menulis
serta proses penulisan yang sesuai dan betul.
8. Menggunakan bahasa baku yang
meliputi ejaan, kosa kata, tatabahasa, dan sebutan yang betul dalam aktiviti
mendengar, bertutur, membaca, dan menulis.
9. Menghargai dan menghayati keindahan
bahasa melalui karya sastera dan karya berunsur ilmu.
10. Menghayati dan mengamalkan nilai
murni, sikap positif, semangat patriotisme, dan perasaan cinta akan negara.
Organisasi
Kandungan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSR berfokus kepada hasil
pembelajaran yang perlu dikuasai oleh murid. Hasil pembelajaran ini berteraskan
Kemahiran Bahasa, iaitu Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Kemahira Membaca, dan
Kemahiran Menulis. Hasil Pembelajaran juga menggabungkan peraturan dalam Sistem
Bahasa dan disokong oleh elemen Pengisian Kurikulum.
Hasil Pembelajaran ialah pernyataan
yang ditafsirkan daripada objektif kurikulum bahasa. Pernyataan Hasil
Pembelajaran merupakan petunjuk yang jelas tentang kemahiran yang perlu
dikuasai oleh murid. Oleh itu, murid perlu menguasai kemahiran berbahasa yang terdapat
dalam setiap hasil pembelajaran. Justeru, Hasil Pembelajaran dapat membantu
guru memilih kandungan, kaedah, sumber, dan prosedur pengajaran yang relevan
dan berkesan. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, Hasil
Pembelajaran dapat dicapai dengan menggabungjalinkan keempat-empat kemahiran
bahasa, sistem bahasa dan pengisian kurikulum. Pendekatan yang berfokus kepada
gaya pembelajaran yang pelbagai juga dapat membantu murid mencapai Hasil
Pembelajaran. Hasil Pembelajaran juga dapat membantu dalam membuat pengukuran
dan penilaian pencapaian murid.
Pengisian Kurikulum terdiri daripada
elemen yang menggabungkan perkembangan terkini dalam pendidikan yang meliputi
aspek ilmu, nilai, kewarganegaraan, peraturan sosiobudaya, dan kemahiran
bernilai tambah, iaitu kemahiran berfikir, kemahiran belajar, cara belajar,
kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kajian masa depan, kecerdasan
pelbagai, pembelajaran konstruktivisme, dan kontekstual. Semua elemen ini dapat
diaplikasikan oleh murid dalam dunia pekerjaan. Di samping itu, nilai
kewarganegaraan, dan patriotisme juga diberi penekanan selaras dengan matlamat
negara dalam membangunkan masyarakat madani.
3.2 Kurikulum
Standard Bahasa Melayu Sekolah Rendah (KSSR)
Menurut Ragbir Kaur Joginder Singh (2012),
KSSR dibangunkan sejajar dengan perubahan terkini dalam globalisasi pendidikan
dan dunia pendidikan. Dengan berlandaskan FPK dan mengekalkan prinsip KBSR, penambahbaikan dilakukan
kepada reka bentuk organisasi, pedagogi, penegasan kurikulum, peruntukan masa
dan pengurusan kurikulum untuk KSSR (Noriati A. Rashid et al, 2012).
Kurikulum Standard Bahasa Melayu Sekolah Rendah membolehkan murid
memperkembangkan keupayaan dan penguasaan kemahiran bahasa, serta berkomunikasi
dengan menggunakan Bahasa Melayu secara berkesan dan bertatasusila dalam semua
urusan. Standard ini juga menekankan minat dan kecerdasan yang berbeza dalam
kalangan murid. Matlamat Bahasa Melayu KSSR adalah bertujuan untuk
membolehkan murid berketerampilan dalam berbahasa dan boleh berkomunikasi untuk
memenuhi keperluan diri, memperoleh pengetahuan, ilmu, kemahiran, maklumat,
nilai dan idea serta hubungan sosial dalam kehidupan harian mereka.
Bahasa Melayu KSSR
digubal dengan memberikan penekanan pada Standard Kandungan dan Standard
Pembelajaran yang perlu diketahui dan dapat dilakukan oleh murid. Standard
Kandungan dan Standard Pembelajaran ini berpaksikan Kemahiran Bahasa dan Sistem
Bahasa.