Pages

Thursday, June 6, 2013

Teori pemerolehan dan teori huraian bahasa



1.0       PENGENALAN
Bahasa memainkan peranan yang penting dalam kehidupan kita. Penguasaan bahasa yang baik akan membantu murid bertutur, mendengar, mentaksir, merakam dan menghuraikan pendapat dengan tepat, mudah dan menarik. Justeru, dalam melengkapkan diri untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara, setiap individu perlu membina keyakinan dan jati diri melalui penguasaan bahasa yang bagus dalam komunikasi.

Bahasa Melayu dijadikan sebagai mata pelajaran wajib yang selaras dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Bahasa Melayu perlu dikuasai pada peringkat awal bagi membolehkan murid-murid berkomunikasi dan menimba ilmu pengetahuan. Pendidikan Bahasa Melayu berhasrat membina rasa bangga terhadap bangsa yang mencerminkan akal budi dan pemikiran rakyat, juga berperanan sebagai pemangkin kepada semangat cinta akan tanah air yang dikongsi bersama oleh semua rakyat dalam satu wawasan. Sebagai guru Bahasa Melayu, kita bertanggungjawab terhadap penguasaan Bahasa Melayu setiap murid kita yang bakal menjadi pemimpin negara masa hadapan.

Menurut Nuraini Yusoff et al (2005), Bahasa Melayu telah memainkan peranan yang penting semenjak zaman berzaman, iaitu sebelum kedatangan pengaruh barat ke rantau kepulauan Melayu. Walau bagaimanapun, penekanan terhadap teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam era globalisasi telah menggugat peranan Bahasa Melayu. Oleh itu, banyak perubahan telah dilakukan oleh pihak kerajaan untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa Melayu murid seperti dasar MBMMBI, LINUS, KSSR dan sebagainya. Namun begitu, sebagaimana yang kita semua maklum kejayaan dasar-dasar tersebut masih belum dicapai sepenuhnya. Sebagai guru, kita perlu melaksanakan tanggungjawab kita dalam membantu murid-murid kita menguasai Bahasa Melayu demi mencapai hasrat dan aspirasi pendidikan negara.

2.0       TEORI HURAIAN BAHASA & TEORI PEMEROLEHAN BAHASA
Bahasa adalah alat untuk berkomunikasi dan dianggap sebagai tingkah laku manusia melalui ucapan. Teori Huraian Bahasa mengkaji hubungan bahasa dengan jiwa manusia, jenis-jenis bahasa, bentuk-bentuk bahasa dan perkataan yang digunakan oleh penutur serta hubungannya dengan fikiran dan jiwa penutur. Aliran kajian tatabahasa yang terkenal membahagikan Teori Huraian Bahasa kepada empat iaitu aliran tatabahasa tradisional, struktural dan transformasi generatif serta fungsional. Terdapat beberapa perbezaan pendapat dalam setiap aliran bergantung kepada pengaruh yang diterima oleh aliran tersebut. Teori Pemerolehan Bahasa mengkaji bahasa sebagai alat komunikasi dan perubahan bentuk bahasa yang berlaku ketika seseorang itu berkomunikasi dan bahasa berkeupayaan menyampaikan maklumat tentang penuturnya. Eleman dalam struktur bahasa ialah semantik bukan hubungan sintaksis dari segi struktur bahasa.
Rajah 1: Elemen Teori Huraian Bahasa & Teori Pemerolehan Bahasa
Rajah 2: Teori Tradisional (Panini)
Rajah 3: Teori Struktural (Bloomfield)
Rajah 4: Teori Transformasi-Generatif (Chomsky)
Rajah 5: Teori Fungsionalis (Halliday & Wilkins)
Rajah 6: Teori Behaviourisme (Skinner)


Rajah 7: Teori Kognitif
Rajah 8: Teori Interaksionalisme

Rajah 9: Teori Mentalis

3.0       FALSAFAH, OBJEKTIF DAN ORGANISASI KANDUNGAN SUKATAN  PELAJARAN BAHASA MELAYU
Kurikulum Bahasa Melayu digubal untuk memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani, dan jasmani. Kurikulum Bahasa Melayu melatih murid menguasai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi dengan menggunakan tatabahasa secara gramatis. Pendidikan Bahasa Melayu bertujuan membina rasa bangga terhadap bahasa yang mencerminkan akal budi dan pemikiran rakyat. Selain itu, Pendidikan Bahasa Melayu berperanan sebagai pemangkin kepada semangat cinta akan tanah air yang dikongsi bersama oleh semua rakyat.

3.1       Kurikulum Bersepadu Bahasa Melayu Sekolah Rendah (KBSR)  
Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996, menjelaskan bahawa Bahasa Melayu ialah mata pelajaran teras di semua sekolah rendah dan menengah. Kurikulum Bahasa Melayu digubal bertujuan untuk memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Dengan pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Bahasa Melayu, murid yang cekap berbahasa dan berkomunikasi dan dapat menggunakan tatabahasa secara betul dan tepat dapat dilahirkan. Murid juga akan mampu mengungkapkan ilmu pengetahuan daripada mata pelajaran yang lain di samping mengembangkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK).

Matlamat sukatan pelajaran Bahasa Melayu KBSR adalah untuk melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri, memperoleh ilmu, perhubungan sosial, dan urusan harian. Berdasarkan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu (KBSR), pada akhir pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah murid dapat:
1.    Mendengar pengucapan dengan teliti dan memahami serta menghayati pengucapan  alam konteks perbualan harian dan situasi formal.
2.    Bertutur petah menggunakan sebutan dan intonasi yang betul dalam pelbagai situasi.
3.    Berbincang dan berkongsi pendapat untuk menyelesaikan masalah, mencapai persetujuan, dan membuat keputusan tentang sesuatu perkara.
4.    Membaca pelbagai bahan sastera dan bahan berunsur pengetahuan menggunakan teknik membaca yang sesuai dan berkesan untuk memperoleh ilmu dan memproses maklumat secara kritis.
5.    Memupuk minat membaca sebagai satu amalan ke arah membina budaya pembelajaran berterusan.
6.    Memperkembangkan kekuatan imaginasi, kreativiti, pemikiran kritis, dan penghayatan nilai murni melalui aktiviti bertutur, membaca, dan menulis.
7.    Mengenali dan menghasilkan pelbagai jenis penulisan kreatif dan berunsur pengetahuan menggunakan kemahiran menulis serta proses penulisan yang sesuai dan betul.
8.    Menggunakan bahasa baku yang meliputi ejaan, kosa kata, tatabahasa, dan sebutan yang betul dalam aktiviti mendengar, bertutur, membaca, dan menulis.
9.    Menghargai dan menghayati keindahan bahasa melalui karya sastera dan karya berunsur ilmu.
10. Menghayati dan mengamalkan nilai murni, sikap positif, semangat patriotisme, dan perasaan cinta akan negara.

Organisasi Kandungan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSR berfokus kepada hasil pembelajaran yang perlu dikuasai oleh murid. Hasil pembelajaran ini berteraskan Kemahiran Bahasa, iaitu Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Kemahira Membaca, dan Kemahiran Menulis. Hasil Pembelajaran juga menggabungkan peraturan dalam Sistem Bahasa dan disokong oleh elemen Pengisian Kurikulum.

Hasil Pembelajaran ialah pernyataan yang ditafsirkan daripada objektif kurikulum bahasa. Pernyataan Hasil Pembelajaran merupakan petunjuk yang jelas tentang kemahiran yang perlu dikuasai oleh murid. Oleh itu, murid perlu menguasai kemahiran berbahasa yang terdapat dalam setiap hasil pembelajaran. Justeru, Hasil Pembelajaran dapat membantu guru memilih kandungan, kaedah, sumber, dan prosedur pengajaran yang relevan dan berkesan. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, Hasil Pembelajaran dapat dicapai dengan menggabungjalinkan keempat-empat kemahiran bahasa, sistem bahasa dan pengisian kurikulum. Pendekatan yang berfokus kepada gaya pembelajaran yang pelbagai juga dapat membantu murid mencapai Hasil Pembelajaran. Hasil Pembelajaran juga dapat membantu dalam membuat pengukuran dan penilaian pencapaian murid.

Pengisian Kurikulum terdiri daripada elemen yang menggabungkan perkembangan terkini dalam pendidikan yang meliputi aspek ilmu, nilai, kewarganegaraan, peraturan sosiobudaya, dan kemahiran bernilai tambah, iaitu kemahiran berfikir, kemahiran belajar, cara belajar, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kajian masa depan, kecerdasan pelbagai, pembelajaran konstruktivisme, dan kontekstual. Semua elemen ini dapat diaplikasikan oleh murid dalam dunia pekerjaan. Di samping itu, nilai kewarganegaraan, dan patriotisme juga diberi penekanan selaras dengan matlamat negara dalam membangunkan masyarakat madani.

3.2       Kurikulum Standard Bahasa Melayu Sekolah Rendah (KSSR)   
Menurut Ragbir Kaur Joginder Singh (2012), KSSR dibangunkan sejajar dengan perubahan terkini dalam globalisasi pendidikan dan dunia pendidikan. Dengan berlandaskan FPK dan mengekalkan prinsip KBSR, penambahbaikan dilakukan kepada reka bentuk organisasi, pedagogi, penegasan kurikulum, peruntukan masa dan pengurusan kurikulum untuk KSSR (Noriati A. Rashid et al, 2012). 

Kurikulum Standard Bahasa Melayu Sekolah Rendah membolehkan murid memperkembangkan keupayaan dan penguasaan kemahiran bahasa, serta berkomunikasi dengan menggunakan Bahasa Melayu secara berkesan dan bertatasusila dalam semua urusan. Standard ini juga menekankan minat dan kecerdasan yang berbeza dalam kalangan murid. Matlamat Bahasa Melayu KSSR adalah bertujuan untuk membolehkan murid berketerampilan dalam berbahasa dan boleh berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri, memperoleh pengetahuan, ilmu, kemahiran, maklumat, nilai dan idea serta hubungan sosial dalam kehidupan harian mereka.

Bahasa Melayu KSSR digubal dengan memberikan penekanan pada Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran yang perlu diketahui dan dapat dilakukan oleh murid. Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran ini berpaksikan Kemahiran Bahasa dan Sistem Bahasa.
Rajah10: Kandungan Kemahiran Bahasa

Sistem Bahasa pula merangkumi perkara-perkara berikut:
a)    Tatabahasa
Kandungan tatabahasa terdiri daripada morfologi dan sintaksis. Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan golongan kata. Sintaksis ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan ayat.

b)   Tanda Baca
Tanda baca penting dikuasai dalam komunikasi tulisan untuk memastikan keselarasan dan juga makna yang tepat. Misalnya, koma dan tanda noktah mewakili hentian dalam pertuturan. Penggunaan tanda baca yang betul dapat mewakili intonasi dalam bacaan dan penulisan.

c)    Sistem Ejaan
Perkara yang diberikan penekanan dalam sitem ejaan ialah pola keselarasan huruf vokal, ejaan kata pinjaman dan ejaan kata dasar serta terbitan.

d)   Sebutan & Intonasi
Sebutan dan intonasi diajarkan supaya murid dapat menyebut perkataan dan ayat dengan betul serta memahami intonasi dan jeda. Kemahiran yang ditekankan ialah kebolehan mengenal pasti dan membezakan pelbagai aspek dalam sebutan dan intonasi supaya murid dapat menyampaikan maksud dengan tepat. Sebutan bahasa Melayu yang diajarkan hendaklah menggunakan sebutan bahasa Melayu baku. Intonasi ayat bahasa Melayu yang diajarkan mengikut pola seperti ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah, ayat seruan dan sebagainya.

e)    Kosa Kata
Kosa kata terdiri daripada kata umum dan istilah. Penguasaan kosa kata perlu dipertingkat dan diperkembangkan agar murid dapat mengungkapkan maklumat dan buah fikiran selaras dengan penambahan ilmu dalam mata-mata pelajaran yang dipelajari di peringkat sekolah rendah.

f)     Peribahasa
Peribahasa merangkumi simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan, perbilangan dan kata-kata hikmat perlu diajarkan dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia. Pemilihan peribahasa hendaklah mengutamakan falsafah, keperibadian, dan nilai murni masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.




4.0       PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dilaksanakan di semua sekolah rendah mulai Tahun 1 pada 2011 dan bertujuan untuk menilai dan mentaksir murid dengan adil berdasarkan kebolehan, minat, dan bakat murid.

4.1       Konsep & Objektif PBS
PBS merupakan salah satu usaha kerajaan melalui Kementerian Pelajaran untuk membangunkan modal insan secara holistik dengan menekankan penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika dan moral yang tinggi. PBS menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) yang selaras dengan FPK dan KSSR.

Rajah 11 : Komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah

4.2       Kebaikan PBS
Azmy Mohamed (2011) menjelaskan bahawa sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan dan terlalu mengiktiraf pencapaian akademik menyebabkan penglibatan pelajar kurang dalam kokurikulum serta memberi tekanan kepada guru, ibu bapa dan pelajar berkenaan.

Pada pendapat saya, pelaksanaan PBS banyak memberi kebaikan kepada bidang pendidikan negara kita. Pertama, murid boleh memperbaiki kelemahan atau masalah pembelajaran di sekolah melalui penilaian dan bimbingan. Maklum balas yang diberi berdasarkan standard prestasi boleh membantu murid mengenal pasti kelemahan yang perlu dibaiki untuk memberi hasil yang lebih baik. Keadaan inilah yang memberi motivasi dan keyakinan kepada murid mencuba lagi bagi meningkatkan prestasi mereka pada masa hadapan.
           
            Selain itu, PBS juga membolehkan guru mentaksir dan memahami bakat serta kemampuan yang ada pada setiap murid. Murid tidak akan keciciran melalui pelaksanaan PBS. Justeru, murid dapat memasuki aliran yang sesuai di sekolah menengah setelah mendapat pendidikan di sekolah rendah selama 6 tahun. Murid yang lemah akademiknya boleh memasuki aliran seperti aliran seni, aliran sukan dan aliran kemahiran dan vokasional mengikut potensi dan kebolehan mereka. 

Kebaikan yang seterusnya ialah tekanan murid dapat dikurangkan dan keseronokan semasa belajar dapat diwujudkan. Melalui PBS, murid dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi ilmu yang dipelajari dalam pelbagai konteks keperluan serta tidak terikat dengan keperluan peperiksaan semata-mata. Justeru, murid akan belajar dalam persekitaran yang harmonis yang membolehkan mereka mengembangkan potensi mereka. Selain itu, tekanan ibu bapa yang mementingkan akademik juga dapat dikurangkan.

Seterusnya, pelaksanaan PBS dapat menggalakkan murid terlibat secara aktif dalam aktiviti kokurikulum. Murid tidak perlu berhadapan dengan pendidikan yang berorentasikan peperiksaan semata-mata dan mereka boleh terlibat secara aktif dalam aktiviti sukan ataupun kokurikulum di sekolah mengikut minat dan kemampuan mereka. Fenomena ini dapat melahirkan murid yang lebih cemerlang dalam semua aspek kerana pentaksirannya dilakukan bukan sahaja terhad kepada bidang akademik tetapi juga merangkumi sahsiah, sukan dan kokurikulum.

4.3       Cabaran dan Penambahbaikan PBS
Pelaksanaan PBS banyak mendapat rungutan daripada pelbagai pihak terutamanya guru. Banyak guru mengatakan bahawa PBS membebankan mereka dalam menyediakan lembaran kerja serta memasukkan prestasi murid secara dalam talian. Hal ini dikatakan demikian kerana guru terpaksa memperuntukkan masa yang agak lama untuk mengakses Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS).

Pelaksanaan PBS sepatutnya memudahkan kerja guru dalam merekod pencapaian murid dan bukannya membebankan guru. Oleh itu, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan dalam menyelesaikan masalah-masalah yang timbul. Pihak berkuasa PBS perlu menyelenggarakan SPPBS supaya sistem itu dapat menampung bilangan pengguna yang mengakses secara serentak. Selain itu, skor dalam sistem tersebut perlu dipermudahkan. Dengan ini kesukaran guru dalam melaksanakan tugas dapat diatasi.

Kedua, kebanyakan guru masih lagi tidak memahami konsep dan cara pelaksanaan PBS. Oleh itu, kemahiran dan pengetahuan guru terhadap pelaksanaan PBS ini perlu ditingkatkan melalui pendedahan ataupun latihan yang mantap. Dengan ini, guru dapat melaksanakan pengajaran dan pembelajaran mereka dengan lebih berkesan.

Dengan pelaksanaan KSSR, cabaran kepada insan guru menjadi semakin hebat dan memerlukan komitmen padu guru supaya faham, cukup berpengetahuan dan berkemahiran semasa menjalankan tugas masing-masing. Jika tidak, apa sahaja rancangan yang akan dilaksanakan hanya memberi impak minimum dan sangat perlahan, kalau pun tidak, bakal mengundang kegagalan, membazirkan masa, tenaga dan wang rakyat (Mohd Yusof Abdullah, 2011). Oleh itu, guru perlu meningkatkan kecekapan ikhtisas melalui pengajian, penyelidikan, lawatan dan menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau seminar supaya mencapai mutu pengajaran. 
5.0       RUMUSAN & CADANGAN
Merujuk kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa perubahan sistem pendidikan atau sukatan pelajaran yang berorientasikan program bersepadu haruslah diambil perhatian oleh semua pihak termasuk penggubal dasar, pihak pentadbiran sekolah, ibu bapa dan guru. Kejayaan sesuatu perkara memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak terutamanya guru yang memainkan peranan penting dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan untuk mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Guru sepatutnya melaksanakan pengajaran dan pembelajaran mereka dengan baik dan berkesan mengikut kesesuaian murid supaya memberi hasil pembelajaran kepada murid.

Sekarang, sekolah dilihat sebagai institusi yang tidak hanya menyediakan murid untuk peperiksaan semata-mata tetapi lebih berperanan dalam mendidik dan membimbing murid untuk menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran ke arah pembangunan dan pembentukan modal insan yang holistis. Sebagai pendidik, kita sepatutnya mempunyai sikap, pandangan dan visi yang positif terhadap tugas dan amanah kita bagi merealisasikan tujuan dan hasrat FPK. Guru wajar dan wajib memanfaatkan segala kepakaran dan ilmunya untuk membina modal insan dalam pelbagai aspek dan dimensi demi memenuhi tuntutan FPK yang menjadi tunjang kepada sistem pendidikan di negara kita selama ini. Semua aspek yang diambil kira dapat memberi kesan positif kepada murid supaya mereka dapat mengaplikasikan ilmu dan pengetahuan yang diperolehi dalam kehidupan sebenar.

Kesimpulannya, jika setiap pendidik memahami falsafah, objektif dan organisasi kandungan sukatan pelajaran yang ditetapkan dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab profesion mereka dengan baik, sudah pasti matlamat dasar pendidikan negara akan menjadi satu kenyataan, dan bukan satu impian sahaja. 



BIBLIOGRAFI
Buku:
·         Kementerian Pelajaran Malaysia. (2011). Kurikulum Standard Sekolah
Rendah: Bahasa Malaysia Sekolah Jenis Kebangsaan. Terbitan
Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pelajaran
Malaysia.

·         Noriati A. Rashid, Lee Keok Cheong, Zulkufli Mahayudin & Zakiah      
Noordin. (2012). Falsafah & pendidikan di Malaysia. Siri Pendidikan
Guru: Oxford Fajar.

·         Nuraini Yusoff, Hishamuddin Isam, Faizah Ahmad, Phat a/l Awang Deng,
Rohaya Md. Ali, Nor Hafidah Ibrahim, Mashetoh Abd. Mutalib & Yusniza Yaakub. (2005). Bahasa Melayu untuk pengurusan. Sintok: Universiti Utara Malaysia. 

·         Ragbir Kaur Joginder Singh. (2012). Panduan ilmu pendidikan untuk DPLI
falsafah dan etika. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.   

Terbitan Eletronik:
·         Azmy Mohamed. (2011, Disember 5). Rasional pelaksanaan PBS.
Utusan: Pendidikan. Diperolehi pada 5 April 2013, daripada http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

·         Mohd Yusof Abdullah et al. (2011, Mei 18). Guru penjana transformasi
negara. Minda Pendidik. Diperolehi pada 17 April 2013, daripada

·          




No comments:

Post a Comment